Kolumnis
Kes Ebit Lew: pendakwaan di mahkamah hanya berlaku jika cukup elemen bagi setiap pertuduhan – peguam
Minggu lalu berlangsung perbicaraan Ebit Lew di mahkamah. Sudah tentu terdapat pelbagai pandangan yang berbeza dari orang awam.

Minggu lalu berlangsung perbicaraan Ebit Lew di mahkamah.
Sudah tentu terdapat pelbagai pandangan yang berbeza dari orang awam. Terdapat pihak yang mendakwa, tuduhan terhadap Ebit Lew adalah fitnah dan segala prosiding di mahkamah ini adalah merupakan satu penganiayaan.
Proses mahkamah bukanlah suatu penganiayaan tetapi untuk membuktikan sesuatu kes melalui sistem perundangan. Medannya tidak sama seperti perdebatan dalam kalangan netizen yang berlandaskan kepercayaan, logik atau minat tetapi perbicaraan di mahkamah berdasarkan dokumen dan keterangan saksi-saksi.
Bagi kes jenayah terhadap tertuduh, dimulakan dari siasatan oleh pihak polis, pertuduhan di mahkamah, perbicaraan dan diikuti dengan keputusan sama ada denda, penjara, sebatan atau gabungan kepada mana-mana hukuman (tertakluk kepada jenis kesalahan).
Dalam kes terhadap Ebit Lew ini, mangsa juga turut menuntut secara tuntutan sivil bagi gangguan seksual. Bagi tuntutan sivil, dimulakan dengan tindakan saman dan pembelaan iaitu, peringkat pliding dan diikuti dengan perbicaraan dan seterusnya keputusan.
Bagi kes sivil, keputusan ini tidak dipanggil hukuman tetapi jika Plaintif berjaya membuktikan kesnya mahkamah boleh mengarahkan perintah bayaran ganti rugi dan perintah-perintah lain seperti injunksi, permohonan maaf atau lain-lain (tertakluk kepada perintah).
Ebit Lew dituduh dengan 11 pertuduhan gangguan seksual di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Untuk memulakan sesuatu tindakan di mahkamah bagi satu kes jenayah, perlu dimulakan dengan laporan polis oleh mangsa. Sewaktu laporan polis dibuat, pihak polis akan meneliti sama ada terdapat elemen kesalahan jenayah berdasarkan laporan polis. Sekiranya wujud elemen kesalahan jenayah berdasarkan laporan polis, siasatan kes akan dimulakan bagi membuktikan setiap elemen jenayah.
Diperingkat siasatan, biasanya pelaku dipanggil suspek dan sekiranya diteruskan pertuduhan di mahkamah, suspek dipanggil sebagai tertuduh.
Misalnya, terdapat dakwaan bahawa suspek melakukan kesalahan bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang atau menggangu kesantunan seseorang.
Bagi kesalahan bawah Seksyen ini, misalnya suspek telah menghantar mesej berbentuk lucah kepada pengadu tanpa kemahuan dan kerelaan mangsa sehingga mengaibkan kehormatan pengadu atau mengganggu kesantunan pengadu.
Apakah kebiasaannya hasil siasatan yang dilakukan bagi membolehkan pendakwaan di mahkamah? Jika dakwaan pengadu terdapat mesej lucah yang dihantar secara Whatsapp atau Telegram, pihak polis akan memeriksa telefon mudah alih milik pengadu dan meneliti setiap mesej yang dihantar sama ada terdapat kelucahan yang melampau yang bersesuaian dengan elemen bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Jika terdapat bukti tersebut, telefon milik pengadu kebiasaannya akan ditahan sementara oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes. Pihak polis akan mengenalpasti dan menyiasat sama ada benar suspek yang telah menghantar segala mesej berbentuk lucah tersebut atau pun individu lain.
Bagi tujuan ini, semakan nombor dan akaun yang digunakan suspek untuk menghantar mesej kepada pengadu adalah amat penting. Perlu dibuktikan bahawa suspek menggunakan telefon mudah alihnya dan akaun atau telefon nombornya untuk menghantar mesej berbaur kelucahan kepada pengadu. Bagi tujuan ini juga, kebiasaannya telefon suspek akan ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
Jika tidak dapat dibuktikan bahawa suspek yang menghantar mesej berbaur lucah ini dan sebenarnya individu lain yang menghantar, kebarangkalian untuk meneruskan dakwaan di mahkamah sangat tipis atau boleh dikatakan tidak akan berlaku kerana elemen utama iaitu suspek telah mengaibkan kehormatan pengadu secara menghantar mesej lucah tidak dapat dibuktikan.
Sekiranya dalam sesuatu kes, terdapat video yang dihantar oleh Pengadu berbentuk kelucahan, pihak polis menyiasat sama ada suspek yang menghantar video tersebut dari telefon suspek kepada pengadu. Sama ada kes, video tersebut telah diubah atau disunting, juga perlu dibuktikan (tertakluk kepada pembuktian pertuduhan jenayah).
Seterusnya pihak polis perlu menyiasat bahawa segala mesej atau video yang berbentuk lucah dihantar tersebut tanpa kerelaan dan keinginan pengadu sehingga mengaibkan kehormatan pengadu atau mengganggu kesantunan pengadu. Cukup segala elemen siasatan bagi sesuatu pertuduhan, pihak polis akan menghantar kertas siasatan kepada pendakwaraya untuk izin pendakwaan di mahkamah.
Sekiranya pendakwaraya berpendapat cukup elemen bagi sesuatu pertuduhan, maka pendakwaan akan diteruskan ke mahkamah. Ada keadaan bahawa bukti yang dikemukakan oleh pihak siasatan tidak mencukupi dan pendakwaan akan mengarahkan pihak siasatan untuk mendapatkan bukti-bukti tambahan. Sekiranya hasil siasatan adalah kuat dan kukuh, pendakwaan akan diteruskan.
Sekiranya kes adalah sangat lemah dan pembuktian tidak mencukupi, maka ada kebarangkalian kes dikategorikan sebagai ‘No futher action’ (NFA) bermakna tiada pendakwaan atau pertuduhan akan diteruskan ke mahkamah. Tiada tindakan lanjut bagi prosiding jenayah akan diambil.
Ini baru peringkat siasatan, pendakwaan atau pertuduhan di mahkamah dan belum lagi perbicaraan di mahkamah lagi. Betapa setiap satu langkah dan prosedur perlu dipenuhi. Seperti saya katakan tadi, proses mendapatkan elemen keadilan di mahkamah tidak sama seperti medan perdebatan netizen di media sosial.
Seterusnya di peringkat mahkamah. Apabila pertuduhan dibacakan dan kes pendakwaan dimulakan, prosesnya juga tidak mudah. Pihak pendakwaan perlu memanggil semua saksi-saksi yang relevan bagi membuktikan kes. Saksi utama, sudah tentu pengadu untuk memberi keterangan tentang pertuduhan terhadap suspek.
Saksi-saksi lain turut dipanggil, tertakluk kepada sama ada relevan berdasarkan jenis pertuduhan jenayah. Misalnya, bagi kes-kes melibatkan telco dan komunikasi, antara yang dipanggil adalah pakar forensik siber, syarikat telco dan lain-lain. Bagi kes pembunuhan antara saksi yang relevan dipanggil adalah pakar forensik patalogi, saksi-saksi pakar yang terlibat dalam proses bedah siasat mayat dan lain-lain. Pemilihan saksi adalah berdasarkan penelitian dan strategi pendakwaraya.
Setiap saksi-saksi yang dipanggil perlu memberi keterangan melalui sesi soal balas secara tiga peringkat iaitu pemeriksaan utama, pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula. Sewaktu ini, saksi-saksi akan diuji dari segi pengetahuan fakta, pengetahuan bidang, kredibiliti semuanya tertakluk mengikut kesesuaian saksi.
Selesai semua saksi-saksi diperingkat pendakwaan, pendakwaraya dan pasukan pembelaan tertuduh perlu berhujah sama ada elemen jenayah telah dibuktikan dan tertuduh telah melakukan perbuatan jenayah atau terdapat keraguan munasabah bahawa tertuduh ada melakukan kesalahan jenayah.
Jika pendakwaraya berjaya membuktikan kes prima facie, bahawa tanpa keraguan munasabah tertuduh telah melakukan perbuatan jenayah, tertuduh akan diberi peluang untuk memasukkan pembelaan.
Diperingkat ini, peguam pembela akan memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan yang menyokong kes tertuduh. Sekiranya pembelaan tertuduh berjaya membangkitkan keraguan munasabah, misalnya bukan tertuduh yang menghantar mesej berbaur lucah atau sebenarnya pengadu memberikan kerelaan, maka tidak lengkap elemen jenayah yang dilakukan oleh tertuduh. Oleh itu, tertuduh boleh dilepaskan dan dibebaskan bagi tuduhan jenayah tersebut.
Pun begitu, proses-proses ini masih boleh dirayu diperingkat seterusnya oleh pendakwaraya atau tertuduh sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah diputuskan oleh mahkamah.
Proses yang bukan mudah untuk mendapatkan kebenaran. Pelbagai faktor yang boleh jadi penentu, kadangkala keterangan saksi yang tidak kuat atau bercanggah, kadangkala pembuktian secara dokumen dan pelbagai. Standard pembuktian yang cukup tinggi.
Kita nantikan keputusan oleh Mahkamah dan meletakkan kepercayaan kepada keputusan mahkamah kerana mahkamah lebih arif membuat sesuatu keputusan setelah mendengar keterangan saksi-saksi dan meneliti dokumen-dokumen serta bukti-bukti yang telah dikemukakan.
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
Kolumnis
Khitan wanita: Fahami asas pensyariatan hukum sebelum pengkelasan FGM
Saya ingin memberi maklumbalas kepada ulasan Profesor Dr Dayang Anita Abdul Aziz berhubung dengan kajian beliau bertajuk ‘Kajian Rintis Knowledge, Attitude And Practice (KAP) Pengetahuan, Sikap dan Amalan Ibu Bapa dan Golongan Profesional Terhadap Impak Kesihatan FGM’ yang dijadikan asas beliau menggesa pengharaman khitan Wanita bagi semua kategori Female Genital Mutilation (FGM).

Saya ingin memberi maklumbalas kepada ulasan Profesor Dr Dayang Anita Abdul Aziz berhubung dengan kajian beliau bertajuk ‘Kajian Rintis Knowledge, Attitude And Practice (KAP) Pengetahuan, Sikap dan Amalan Ibu Bapa dan Golongan Profesional Terhadap Impak Kesihatan FGM’ yang dijadikan asas beliau menggesa pengharaman khitan Wanita bagi semua kategori Female Genital Mutilation (FGM).
Kajian tersebut pernah dibentangkan kepada Persatuan Ulama Malaysia dengan kehadiran beberapa pakar-pakar perubatan lain termasuk saya sendiri.
Saya menilai dari sudut metodologi kajian yang dibentangkan. Beberapa teguran telah diberi kerana kajian tersebut mempunyai beberapa kelemahan dari sudut metodologi, seterusnya menatijahkan dapatan kajian yang tidak tepat.
DEFINISI ILMUAN AGAMA YANG TIDAK JELAS DAN MENGELIRUKAN
Profesor Dr Dayang Anita melaporkan bahawa sebanyak 57.5% ilmuan agama dalam kajian beliau mengatakan khitan wanita tidak wajib dilakukan.
Pertamanya, pengumpulan data kajian itu dilakukan secara kajiselidik menggunakan aplikasi GoogleForm . Tiga capaian atau link disebarluaskan melalui aplikasi media sosial seperti FB dan WhatsApp mengikut 3 kategori.
Daripada 3 capaian atau link ini, responden kajian dipelawa menjawab dengan memilih sendiri kategori mereka sama ada sebagai ibubapa, pengamal perubatan atau ilmuan agama.
Justeru, penyelidik tidak dapat membuat verifikasi/mengenalpasti/mengesahkan adakah responden yang menjawab soalan2 tersebut, benar-benar menepati takrifan kategori seperti yang dikehendaki kajian.
Apabila dilihat kepada keputusan yang dibentangkan, nyata berlaku bias persampelan (sampling bias) di dalam kategori agamawan di mana terdapat responden agamawan yang melaporkan tahap pendidikan mereka adalah sehingga di peringkat menengah sahaja.
Justeru, definisi dan kategori ilmuan Islam/agamawan dalam kajian ini tidak tepat dan telah mengelirukan responden. Bidang pengkhususan/kepakaran agama juga tidak dinyatakan.
Pemakaian statistik agamawan seperti dalam dapatan kajian ini dapat diragui kesarjanaan mereka dan tidak wajar dijadikan hujah menolak pandangan Muzakarah Fatwa dari para Mufti yang mujtahid yang mengadakan perbincangan secara bersemuka dan mencapai keputusan secara kolektif dalam menentukan hukum-hakam.
TRAUMA DAN EMOSI IBUBAPA
Dilaporkan juga oleh kajian ini, 66% daripada ibubapa/penjaga merasa bimbang dengan amalan khitan bayi tersebut.
Merujuk kepada keputusan kajian, soalan tentang kebimbangan ditanya secara umum iaitu “Perasaan Responden Ketika Khitan Dijalankan Ke Atas Anak” yang meliputi “Risau, Cemas, Takut, Berdebar-debar, Gemuruh, Ngilu, Menangis dan lain-lain bentuk perasaan yang umum”.
Reaksi anak-anak yang dikhitan pula menurut kajian dilaporkan sebagai 51.2% mendiamkan diri, 50% menangis dan 2.3% meronta.
Jika kita berfikir secara kritis, jawapan yang sama boleh diperolehi jika prosedur khitan bayi perempuan diganti dengan prosedur kesihatan yang lain seperti vaksinasi bayi, khatan bayi lelaki dan prosedur pembedahan kerana soalan-soalan mengenai kebimbangan ibubapa adalah sangat subjektif, apatah lagi melalui soalselidik GoogleForm yang tidak memungkinkan ibubapa menghuraikan dengan tepat perasaan mereka.
Justeru untuk mengatakan ia sebagai satu sebab yang wajar untuk pengharaman khitan adalah tidak wajar kerana kita tidak mengharamkan prosedur yang lain yang melahirkan kebimbangan yang sama.
Kajian turut menyatakan tentang komplikasi dimana 34% responden melaporkan pendarahan dan 2% melaporkan lebam.
Pendarahan di sini berlaku kerana sebahagian dari tatacara khitan wanita sendiri adalah terdapat sedikit/setitik kesan darah pada kapas yang dianggap lengkaplah upacara khitan wanita.
Takrifan komplikasi adalah kesan yang tidak diingini. Justeru pendarahan seperti yang dijawab melalui kajiselidik maya itu tidak menggambarkan satu bentuk komplikasi. Penyelidik mungkin mengkelaskan ia sebagai komplikasi sedangkan ibubapa sekadar melaporkan apa yang mereka nampak .
PENGKELASAN FGM YANG BERUBAH-UBAH
Pada tahun 1990, dalam sesi ke 9 persidangan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita, The Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (CEDAW), satu kenyataan dikeluarkan dinamakan rekomendasi nombor 14 yang menyeru ke arah penghapusan FGM. Amalan-amalan yang dirujuk ketika ini adalah dari amalan FGM yang diamalkan secara keterlaluan dan tidak selamat di Afrika seperti pemotongan dan pembuangan bibir faraj (labia minora dan labia majora) dengan pemotongan klitoris.
Pada tahun 1995, Malaysia telah menandatangani CEDAW dengan beberapa artikel dikecualikan (reserved). Pada tahun 1997 Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO mengklasifikasikan FGM kepada empat kategori melalui satu mesyuarat yang dinamakan “Technical Working Group on Female Genital Mutilation” , bertujuan untuk menarik perhatian dunia berkenaan amalan ini dan akibatnya daripada sudut kesihatan.
Desakan dari pihak feminis di Malaysia turut menggesa agar Malaysia mengharamkan khitan wanita walaupun pihak berkuasa agama Malaysia telahpun memberi penerangan demi penerangan, bahawa khitan wanita bukanlah FGM.
Berhadapan dengan fakta ini dimana kaedah khitan wanita tidak menepati pengkategorian asal FGM, kaedah yang digunakan WHO adalah dengan memperbaharui takrifan dan pengklasifikasian FGM itu sendiri tanpa ada justifikasi atau bukti mudarat khitan wanita seperti yang diamalkan Malaysia.
WHO kemudiannya pada tahun 2007 menyatakan bahawa terdapat keperluan untuk membahagi-bahagikankan lagi pengkategorian FHM ini untuk merangkumi jenis-jenis mutilasi genital wanita dengan lebih terperinci lalu mereka mendatangkan klasifikasi FGM baru yang turut memasukkan teknik atau amalan khitan perempuan di bawah klasifikasi FGM sehingga terma baru FGM/FC (female circumcision) atau FGM-C.
Jadi adalah tidak wajar dan tidak saintifik apabila kita bergantung kepada pengkelasan WHO yang berubah-rubah dan diperbaharui sedangkan amalan khitan wanita ini telah lama diamalkan dalam masyarakat kita tanpa ada komplikasi besar sementelah khitan wanita mempunyai asas dalam agama.
ADAKAH MANFAAT KESIHATAN (MEDICAL BENEFITS) ITU SEBAGAI SATU SYARAT KEABSAHAN SESUATU AMALAN?
Walaupun dari sudut saintifik setakat ini kita tidak dapat membuktikan kesan positif daripada amalan khitan wanita, tetapi kita sebagai umat Islam perlu memahami bahawa apabila datangnya sesuatu syariat, ianya pasti ada hikmah.
Seperti mana Imam Sulayman al-Bujayrami berkata: “Sesuatu perkara yang tidak diketahui makna oleh akal, pasti mempunyai sebab walaupun kita tidak tahu”.
Sebagai contoh kita tidak tahu kenapa bilangan rakaat berbeza-beza, jadi kita serahkan maksudnya kepada Allah.
Ketiadaan manfaat positif sesuatu amalan yang ditaklifkan kepada kita, tidak bermakna ianya membawa kesan negatif. Dalam era di mana setiap tahun terdapat desakan hebat untuk pengharaman khitan wanita, dan di mana terdapat negara-negara tertentu yang telahpun menjadikan khitan wanita sebagai jenayah, adalah sukar untuk mendapatkan kebenaran penyelidikan klinikal melibatkan khitan wanita, tidak seperti penyelidikan khatan lelaki.
Khitan lelaki sering dijadikan perbandingan bahawa ia mempunyai manfaat perubatan, justeru amalan ini diterima dengan baik. Bahkan prosedur khatan lelaki telahpun diangkat dalam seminar antarabangsa bagi memperbaiki amalannya dan ia mempunyai garispanduan sendiri dari Kementerian Kesihatan Malaysia. Khatan wanita, sehingga kini tiak mempunyai garispanduan kerana pihak Kementerian Kesihatan Malaysia menggunapakai kerangka WHO untuk tidak mengiktiraf khitan wanita sebagai satu prosedur perubatan.
Walaubagaimanapun, penemuan bahawa khatan lelaki dapat melindungi dari kanser zakar/penis hanya diketahui dalam sekitar tahun 1932, tidak sampai 100 tahun yang lalu. Antara kajian terawal di Amerika Syarikat mendapati dalam 1103 kes barah penis di rekodkan, tiada dari kes ini melibatkan kaum Yahudi yang mengamalkan khatan walaupun populasi Yahudi seramai 3%.
Kajian kes kontrol melibatkan tentera Amerika pula pada tahun 1947 menunjukkan barah penis adalah kurang dikalangan mereka yang berkhatan semasa kecil. Dalam tahun 1960an, kajian ekologi di Timur Afrika menunjukkan barah penis kurang dari kalangan etnik yang melakukan khatan berbanding dengan etnik yang tidak berkhatan .
Kajian-kajian di atas tidaklah menjadi sebab kenapa khatan lelaki di amalkan di negara kita, bahkan umat Islam melakukannya kerana perkara tersebut ada nas dalam agama sejak Rasulullah SAW berpesan dalam hadis beliau 1400 tahun yang lalu. Begitulah juga sikap kita terhadap khitan wanita.
Ada yang berhujah wajar diharamkan khitan wanita kerana kes-kes jangkitan kuman atau pendarahan teruk dilaporkan. Komplikasi khatan lelaki sebenarnya lebih tinggi berbanding khitan wanita. Kadang-kadang berlaku kes kecuaian pihak-pihak doktor/bidan yang tidak terlatih menyebabkan ada laporan kes terpencil tetapi kaedah dalam feqah juga menyebut
1) الحكم الغالب. والنادر لا يظهر في مقابلة الغالب
Maksudnya: Sesuatu hukum ditetapkan ke atas perkara yang lazim berlaku. Perkara yang jarang berlaku tidak menunjukkan hukum yang berlawanan dengan perkara yang lazim.
2) الحكم يبنى على الغالب دون النادر
Maksudnya: sesuatu hukum terbina di atas perkara yang lazim berlaku, bukan pada perkara yang jarang berlaku.
Kemudaratan pada kes terpencil tidak sewenang-wenangnya menyebabkan berlakunya pengharaman ke atas kes tersebut. Malah hukum yang telah jelas tentang kewajipan berkhitan bagi wanita tetap terpakai.
Penetapan hukum tidak boleh hanya disandarkan kepada kes-kes terpencil sebagai hukum yang terpakai untuk semua pihak yang berkaitan. Ia menjadikan hukum itu sempit dan tidak konsisten.
Sebaliknya, jika berlaku kemudaratan bagi sesetengah kes, kelonggaran atau pengecualian boleh dipertimbangkan berdasarkan asas-asas pensyariatan yang jelas.
Pesakit kencing manis yang teruk, mungkin mengalami kekurangan gula (hipoglisemia) jika berpuasa dan akan memudaratkan beliau. Adakah kita mengharamkan ibadah puasa? Tidak, sebaliknya pesakit tersebut mendapat kelonggaran untuk tidak berpuasa kerana menjaga nyawa beliau.
Sewajarnya kita sebagai umat Islam perlu mengetahui secara asas akan usul fiqh dan bertanya kepada yang pakar sebelum kita terus menggunapakai konvensyen-konvensyen antarabangsa seperti rekomendasi CEDAW, kategori FGM oleh WHO dan lain-lain. Ini perlu agar kita bersifat objektif, konsisten dan telus dalam mengemukakan bukti-bukti perubatan dalam berhadapan isu-isu terkait dengan syariat Islam.
Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
-
Antarabangsa2 days ago
10 hakim berdepan hukuman mati di Arab Saudi
-
Terkini2 days ago
Larangan ke gereja adalah manifestasi disiplin Islam
-
Antarabangsa2 days ago
Kumpulan hak asasi manusia tuduh Beijing bunuh,dera etnik Uyghur Muslim di kem tahanan Xinjiang
-
Antarabangsa2 days ago
Peguam nafi Zakir Naik diusir dari Oman