Connect with us

Terkini

Kedah haram konsert hiburan cetus kelakuan tidak senonoh

Sebarang konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila tidak akan dibenarkan di seluruh Kedah, kata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Wartawan TMT

Published

on

Kedah haram konsert hiburan cetus kelakuan tidak senonoh
Foto: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
  • Sebarang konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila tidak akan dibenarkan di seluruh Kedah.
  • Perlesenan hiburan telah dimaklumkan tentang hal itu dan arahan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
  • Ia susulan kejadian remaja terkinja-kinja di acara ‘Muda Mudi Weekend Fest’ yang diadakan semalam berdekatan Masjid Zahir, Alor Setar. 
  • Pengajuran acara yang selari dengan undang-undang, garis panduan program terbuka dan sesuai dengan tatasusila masyarakat tempatan adalah digalakkan.

ALOR SETAR – Sebarang konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila tidak akan dibenarkan di seluruh Kedah, kata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau dalam satu hantaran dalam Facebooknya hari ini berkata kejadian muda-mudi yang terkinja-kinja tanpa arah dalam penganjuran ‘Muda Mudi Weekend Fest’ di Balai Seni Alor Setar kelmarin menjadi penanda aras kepada perkara itu.

“Kejadian kelmarin menjadi penanda aras bahawa sebarang aktiviti yang boleh merangsang pelanggaran norma masyarakat tempatan tidak boleh diberikan ruang untuk membiak.

“Pengajuran acara yang menyihatkan tubuh badan seperti fun run, fun ride, treasure hunt, pertandingan memancing dan lain-lain pertandingan yang selari dengan undang-undang, garis panduan program terbuka dan sesuai dengan tatasusila masyarakat tempatan adalah digalakkan,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata semua Pegawai Daerah yang mempengerusikan jawatankuasa berkaitan perlesenan hiburan telah dimaklumkan tentang hal itu dan arahan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Semalam, tular di media sosial rakaman video persembahan kumpulan muzik di pentas yang disaksikan anak muda sambil melakukan pelbagai aksi antaranya menari di Balai Seni Alor Setar dan ia mengundang rasa kurang senang memandangkan ia diadakan tidak jauh dari Masjid Zahir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya Kedah Mohd Firdaus Ahmad dalam laporan media semalam dipetik sebagai berkata pihak kerajaan negeri tidak mendapat maklumat terperinci mengenai pengisian festival itu termasuk konsert yang diadakan dan pihaknya akan memanggil penganjur utama festival itu bagi mendapatkan penjelasan. 

Sumber: Bernama

Author

Terkini

Kandungan provokatif di media sosial meningkat ketara – MCMC

Sebanyak 35,490 kandungan provokatif telah diturunkan pada 2023, manakala 27,115 kandungan diturunkan bagi dua bulan pertama tahun ini, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • 35,490 kandungan provokatif diturunkan pada 2023, manakala 27,115 kandungan diturunkan bagi dua bulan pertama tahun ini, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
  • “Sejumlah 2,004 kandungan melibatkan ucapan berbaur kebencian dan menyentuh aspek 3R (raja, agama dan kaum) yang berpotensi mencetuskan keganasan dan diskriminasi telah diturunkan sejak Januari 2023 hingga kini. Sementara, sejumlah 479 kandungan provokasi dan 3R telah diturunkan sejak 13 Mac hingga kini,” menurut kenyataan MCMC hari ini.
  • MCMC memaklumkan kandungan memudaratkan termasuklah ucapan berbaur kebencian, scam, penjualan haram, perjudian dan berita palsu dan ia mengundang ancaman signifikan kepada fabrik sosial dan institusi di Malaysia.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 35,490 kandungan provokatif telah diturunkan pada 2023, manakala 27,115 kandungan diturunkan bagi dua bulan pertama tahun ini, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan terdapat peningkatan ketara kandungan memudaratkan di media sosial dan platform Over The Top (OTT).

“Sejumlah 2,004 kandungan melibatkan ucapan berbaur kebencian dan menyentuh aspek 3R (raja, agama dan kaum) yang berpotensi mencetuskan keganasan dan diskriminasi telah diturunkan sejak Januari 2023 hingga kini. Sementara, sejumlah 479 kandungan provokasi dan 3R telah diturunkan sejak 13 Mac hingga kini,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan kandungan memudaratkan termasuklah ucapan berbaur kebencian, scam, penjualan haram, perjudian dan berita palsu dan ia mengundang ancaman signifikan kepada fabrik sosial dan institusi di Malaysia.

“Sebarang perkongsian kandungan bersifat jelik dan mengancam merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali, menurut MCMC.

Menurut MCMC, pihaknya tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang melampau di media sosial.

MCMC mengingatkan semua pihak supaya menghentikan hantaran provokasi dan elak daripada menulis komen-komen yang bersifat provokatif dan 3R di media sosial. — BERNAMA

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending