Connect with us

Terkini

Sentimen ‘usah buka aib’ dikhuatiri faktor mangsa penderaan seksual pilih diam diri – Ketua Wanita PKR Pulau Pinang

Wanita PKR Pulau Pinang menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang menggunakan ayat seperti ‘membuka aib’ apabila seorang pelakon remaja mendedahkan pernah menjadi mangsa penderaan seksual oleh bapanya sendiri.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Sentimen ‘usah buka aib’ dikhuatiri faktor mangsa penderaan seksual pilih diam diri - Ketua Wanita PKR Pulau Pinang
Foto: Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Nurhidayah Che Ros.
  • Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Nurhidayah Che Ros menyelar kenyataan Datuk Idris Ahmad menggunakan ayat seperti ‘membuka aib’ susulan pendedahan pelakon remaja baru-baru ini. 
  • Menurutnya, menteri terbabit seharusnya bijak dan sensitif dalam penggunaan bahasa agar tidak memesongkan pandangan ramai.
  • Tindakan menteri itu berkemungkinan membuatkan lebih ramai mangsa pencabulan takut mendapat keadilan.
  • Nurhidayah turut menggesa Datuk Seri Rina Mohd Harun membahaskan isu terbabit di Parlimen dan lebih proaktif  bagi menangani isu terbabit.

GEORGETOWN – Wanita PKR Pulau Pinang menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang menggunakan ayat seperti membuka aib’ apabila seorang pelakon remaja mendedahkan pernah menjadi mangsa penderaan seksual oleh bapanya sendiri.

Ketuanya, Nurhidayah Che Ros berkata, menteri terbabit harus bijak dan sensitif dalam penggunaan bahasa agar tidak memesongkan pandangan orang ramai kepada agama Islam dalam mengendalikan kes-kes sedemikian.

Menurutnya, kenyataan Idris itu dikhuatiri akan membuatkan lebih ramai mangsa pencabulan atau penderaan seksual lebih takut untuk mendapatkan keadilan.

“Saya menyokong adalah lebih baik bagi mangsa membuat laporan polis segera bagi mendapatkan keadilan yang sewajarnya namun ayat seperti ‘membuka aib’ tidak sesuai untuk digunakan sama ada beliau bermaksud membuka aib mangsa mahupun si pelaku.

“Beliau harus lebih sensitif agar tidak memberikan tanggapan bahawa agama Islam atau kerajaan Malaysia seakan ‘menempelak’ mangsa penderaan seksual yang berani tampil bersuara,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Nurhidayah turut menggesa agar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun supaya membangkitkan masalah ini di Parlimen bagi mengenakan tindakan yang lebih tegas serta mencadangkan langkah-langkah yang lebih proaktif untuk menangani isu penderaan seksual.

Katanya, sebagai menteri, beliau harus lebih proaktif dalam mengendalikan masalah berkaitan wanita, keluarga dan masyarakat bukannya hanya mengeluarkan komen ketika sesuatu permasalahan terjadi.

“Rina harus sedar jawatan yang disandang mempunyai tanggungjawab yang sangat besar untuk berbakti kepada rakyat, bukan hanya selesa menjulang kedudukan semata-mata.

“Saya berharap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat agar bangkit, buka mata dan menjalankan kerja-kerjanya agar masyarakat kita dapat jalani kehidupan dengan selamat dan sejahtera,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *