Connect with us

Terkini

Rasuah di Malaysia berada di skala membahayakan – Sultan Nazrin

Amalan rasuah di negara ini disifatkan berada pada skala yang membahayakan, berdasarkan teguran laporan Ketua Audit Negara (KAN) secara berulang kali dan pelbagai penemuan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Wartawan TMT

Published

on

Rasuah di Malaysia berada di skala membahayakan - Sultan Nazrin
Foto: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
  • Ia berdasarkan teguran laporan Ketua Audit Negara secara berulang kali dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
  • Semua pihak tidak boleh pandang ringan, leka, memilih menafikan dan memikirkan segala justifikasi bagi menidakkan kewujudan rasuah di hadapan mata. 
  • “Malah, jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku.”
  • Penilaian Transparency International (TI) melibatkan 180 negara, Malaysia berada di kedudukan ke-62 mencatat skor 48, pada tahun 2021. 
  • Rasuah antara sebab utama pertumbuhan ekonomi terbantut, pelaburan asing hilang minat, kos pentadbiran dan urus niaga meningkat, menidakkan rakyat mendapat perkhidmatan, serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

SHAH ALAM – Amalan rasuah di negara ini disifatkan berada pada skala yang membahayakan, berdasarkan teguran laporan Ketua Audit Negara (KAN) secara berulang kali dan pelbagai penemuan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, atas dasar itu, semua pihak tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian dan memikirkan segala justifikasi bagi menidakkan kewujudan rasuah di hadapan mata. 

Titah baginda, semua pihak wajib bersifat berani mengakui, berhubung realiti sedang berlakunya amalan rasuah pada skala yang membahayakan, berdasarkan teguran dan penemuan berkenaan.

Ini kerana menurut baginda, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma sebelum meresap menjadi budaya yang akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa apabila tiada kesungguhan membanteras jenayah itu. 

“Bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pelbagai agensi dan jabatan, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media, dan isu yang diuar-uarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin dan dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku. 

“Malah, jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku.

“Selain itu, daripada 180 buah negara yang dilakukan penilaian oleh Transparency International (TI), Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57, mencatat skor 52 pada tahun 2020, kepada kedudukan ke-62 mencatat skor 48, pada tahun 2021. Malaysia dikelompokkan dalam kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50. 

Advertisement

“Sikap dan tindak balas terhadap perkara berkaitan akan menentukan sama ada amalan rasuah mahu dibendung secara bersungguh atau dilakukan sekadar melepaskan batuk di tangga,” titah baginda memetik daripada Berita Harian.

Baginda bertitah demikian ketika berucap pada pelancaran buku tulisan Prof Emeritus Tan Sri Dr M Kamal Hassan bertajuk ‘Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu, Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika’. 

Pada masa sama, Sultan Nazrin bertitah, penilaian keadaan rasuah, wajib dilakukan secara jujur, ikhlas, objektif, berfakta yang boleh dijadikan bukti bahawa kita sangat serius mahu membendung, malah berhasrat mahu memerangi dan menghapuskan rasuah.

Baginda bertitah, ini kerana rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan, serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik. 

Titahnya, rasuah mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara. 

“Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah, ada negara yang terbenam dalam kemelut kemunduran. 

Advertisement

“Ada negara yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna, hasil mahsul lesap. Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak,” titahnya. 

Baginda bertitah, sifat responsif dan segera melakukan pembetulan bukan sahaja dapat membendung salah laku tadbir urus, malah akan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan. 

Titahnya, rasuah ialah penyakit dalam masyarakat bersifat barah dan menjalar sedikit demi sedikit bagi merosakkan satu persatu organ organisasi, hingga akhirnya boleh melumpuhkan dan membawa maut jika dibiarkan merebak tanpa disegerakan rawatan.

Sebelum ini Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 Siri 1, antara lain mengesan kes pemborosan, pembaziran dan kehilangan atau kerugian wang kerajaan berjumlah hampir RM65 juta.

PAC pula baru-baru ini, menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion. 

Laporan PAC itu mendedahkan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Advertisement

Terkini

Pemimpin UMNO perlekeh Melayu-Islam di mesyuarat MKT – Dira Abu Zahar

Kepentingan orang Melayu-Islam di Malaysia diperlekeh pemimpin-pemimpin UMNO sendiri sewaktu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang diadakan pada Rabu.

Wartawan TMT

Published

on

Pemimpin UMNO perlekeh Melayu-Islam di mesyuarat MKT - Dira Abu Zahar
Foto: Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
  • Dakwaan itu dibuat Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar menerusi hantaran di stories Instagram miliknya semalam.
  • “Masih terngiang-ngiang di telinga, jelas di mata… suara-suara pemimpin UMNO yang memperlekehkan kepentingan orang Melayu Islam di Malaysia ini dalam meeting MKT semalam”.
  • Khaidhirah turut memetik beberapa petikan ayat difahamkan daripada pemimpin UMNO yang didakwa iaitu, “Tak perlu dah jaga orang Melayu ini.” dan “All this are bullshit.

KUALA LUMPUR – Kepentingan orang Melayu-Islam di Malaysia diperlekeh pemimpin-pemimpin UMNO sendiri sewaktu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang diadakan pada Rabu.

Dakwaan itu dibuat Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar menerusi hantaran di stories Instagram miliknya semalam.

“Masih terngiang-ngiang di telinga, jelas di mata… suara-suara pemimpin UMNO yang memperlekehkan kepentingan orang Melayu Islam di Malaysia ini dalam meeting MKT semalam,” kata beliau dalam hantaran IG itu.

Tangkap layar hantaran story Instagram Dira Abu Zahar

Foto: Tangkap layar hantaran story Instagram Dira Abu Zahar

Khaidhirah turut memetik beberapa petikan ayat yang difahamkan daripada pemimpin UMNO yang didakwa iaitu, “Tak perlu dah jaga orang Melayu ini.” dan “All this are bullshit.

Difahamkan, Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dimaksudkan adalah pada 23 November 2022 yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn.

Mesyuarat itu diketuai oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berakhir dengan kata putus bahawa parti gabungan itu akan menyokong dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya BN menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional bagi memastikan sebuah Kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

Turut hadir sama, adalah Datuk Seri Ahmad Maslan (Setiausaha Agung UMNO), Datuk Seri Mohamad Hasan (Timbalan Pengerusi BN), Datuk Bung Mokhtar Radin (Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (Ketua Pergerakan Pemuda UMNO), Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan), dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO iaitu Isham Abdul Jalil, Datuk Jalaluddin Alias, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, serta Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad. – The Merdeka Times

Sumber: Instagram Dira Abu Zahar

Advertisement
Teruskan Membaca
Advertisement

Kata Kunci

Advertisement

Trending