Connect with us

Antarabangsa

Israel paksa warga Palestin bayar USD25,000 atau roboh rumah sendiri di Baitulmaqdis Timur

Ketua majlis perbandaran Israel di Baitulmaqdis Timur memaksa rakyat Palestin merobohkan rumah mereka sendiri atau membayar sekurang-kurangnya USD25,000 untuk kontraktor perbandaran melakukan kerja perobohan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Israel paksa warga Palestin bayar USD25,000 atau roboh rumah sendiri di Baitulmaqdis Timur
Foto: Sumber AP.
  • Israel paksa rakyat Palestin merobohkan rumah mereka sendiri atau membayar sekurang-kurangnya USD25,000 untuk kontraktor perbandaran melakukan kerja perobohan di Baitulmaqdis Timur.
  • Mangsa, Faraj Abu Ramoz diperintahkan merobohkan rumahnya di kejiranan Ras Al-Amoud di Silwan yang didiami sejak tujuh tahun lalu.
  • Israel lebih suka warga Palestin merobohkan rumah mereka sendiri kerana perobohan dilakukan kontraktor yang disokong pasukan keselamatannya akan bawa publisiti memalukan kepada rejim zionis.
  • “Ia (kerja-kerja perobohan) boleh dilaksanakan pada bila-bila masa mengikut visi pendudukan (rejim Israel ke atas wilayah Palestin) dan kelulusan pelaksanaan,” kata Pengarah Hak Ekonomi dan Sosial Baitulmaqdis, Ziad Hammouri.

RAMALLAH: Ketua majlis perbandaran Israel di Baitulmaqdis Timur memaksa rakyat Palestin merobohkan rumah mereka sendiri atau membayar sekurang-kurangnya USD25,000 untuk kontraktor perbandaran melakukan kerja perobohan.

Mangsa terbaharu Faraj Abu Ramoz yang diarahkan pada Rabu untuk merobohkan rumahnya di kejiranan Ras Al-Amoud di Silwan, yang didiaminya sejak tujuh tahun lalu. 

Abu Ramoz berundur selepas kru perbandaran dan polis rejim Israel menyerbu rumah keluarganya dan mengancam untuk merobohkan rumah itu dan memaksa dia membayar kerja perobohan itu.

Aktivis berkata perobohan adalah sebahagian rancangan rejim Israel untuk menghapuskan kehadiran warga Palestin daripada Baitulmaqdis Timur yang diilhakkan. 

Rakyat Palestin yang ingin membina rumah berhadapan dengan kos tinggi dan halangan birokrasi dan mereka hanya ada dua pilihan: sama ada kehilangan hak untuk tinggal di bandar mereka sendiri atau membina tanpa permit dan akhirnya akan diusir.

Lebih 120,000 rakyat Palestin meninggalkan Baitulmaqdis Timur dan kini tinggal di luar “tembok keselamatan” Israel.

Pengarah Hak Ekonomi dan Sosial Baitulmaqdis Timur, Ziad Hammouri berkata, terdapat lebih 20,000 perintah perobohan rumah di bandar itu.

“Ia boleh dilaksanakan pada bila-bila masa mengikut visi pendudukan (rejim Israel ke atas wilayah Palestin) dan kelulusan pelaksanaan,” kata pengarah kumpulan aktivis itu dipetik Arab News.

Untuk rekod, Israel merobohkan 968 rumah dan memindahkan 3,177 orang, termasuk 1,704 kanak-kanak, di antara 2004 dan 2009. 

Angka itu tidak termasuk hukuman perobohan rumah milik rakyat Palestin yang dituduh terbabit dengan ‘keganasan’ oleh rejim Israel.

Aktivis berkata Israel lebih suka warga Palestin merobohkan rumah mereka sendiri kerana perobohan dilakukan kontraktor perbandaran yang disokong pasukan keselamatannya akan memberi publisiti memalukan kepada rejim zionis Israel.

Sumber:  Arab News

Author