Terkini
Kadet “ditekap seterika”: Kenakan hukuman keras, konsisten ke atas pembuli
- Hukuman keras dan konsisten perlu dikenakan ke atas pembuli dan saksi-saksi kejadian setiap kali mereka melakukan perbuatan itu terhadap pelajar lain tanpa terkecuali kerana buli bukan penyakit mental tetapi masalah akhlak dan rohani, kata Konsultan Bebas Psikologi Organisasi, Dr Alizi Alias.
- Pembuli kebiasaannya menginginkan kuasa yang mereka tidak perolehi di tempat lain, merasakan tidak selamat secara psikologi dan menunjukkan rasa selamat psikologi palsu dengan cara membuli.
- Terdapat juga sebahagian kecil mereka yang membuli kerana faktor penyakit mental, khususnya penyakit “Oppositional Defiant Disorder” (ODD) yang mempunyai simptom corak kemarahan yang kerap dan berterusan, mudah mengamuk, bertengkar dan menentang ibu bapa dan pihak berkuasa selain mempunyai sikap dengki dan balas dendam melampau.
- “Adalah lebih praktikal untuk membuat saringan berkenaan ciri psikologi dan ciri kognitif pelajar sebelum mereka masuk ke universiti,” kata Dr Alizi kepada The Merdeka Times (TMT) di sini hari ini.
- Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan tentang bagaimanakah keadaan mental individu yang suka membuli hingga ke tahap sanggup menekap seterika panas ke atas tubuh orang lain dan apakah manusia normal berupaya melakukan perbuatan seperti itu.
- Ia susulan laporan eksklusif TMT semalam yang melaporkan kes terbaru seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan, UPNM disyaki dibuli dan didera seorang seniornya dengan menggunakan seterika ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.
KUALA LUMPUR — Hukuman keras dan konsisten perlu dikenakan ke atas pembuli dan saksi-saksi kejadian setiap kali mereka melakukan perbuatan itu terhadap pelajar lain tanpa terkecuali kerana buli bukan penyakit mental tetapi masalah akhlak dan rohani, kata Konsultan Bebas Psikologi Organisasi, Dr Alizi Alias.
Dr Alizi berkata pembuli kebiasaannya menginginkan kuasa yang mereka tidak perolehi di tempat lain, merasakan tidak selamat secara psikologi dan menunjukkan rasa selamat psikologi palsu dengan cara membuli.
Katanya, terdapat juga sebahagian kecil mereka yang membuli kerana faktor penyakit mental, khususnya penyakit “Oppositional Defiant Disorder” (ODD) yang mempunyai simptom corak kemarahan yang kerap dan berterusan, mudah mengamuk, bertengkar dan menentang ibu bapa dan pihak berkuasa selain mempunyai sikap dengki dan balas dendam melampau.
“Kadang-kadang penyakit mental bukan penyebab buli, tapi perbuatan selalu buli menjadi penyebab penyakit mental seperti Anti-social Personality Disorder.
“Oleh kerana, penyakit mental bukanlah punca utama buli, membuat saringan penyakit mental (sebelum pelajar memasuki ALK/UPNM) adalah tidak praktikal, malah ia boleh mendiskriminasi pelajar yang mempunyai pelbagai jenis penyakit mental yang lain yang biasanya lebih berisiko menjadi mangsa buli.
“Adalah lebih praktikal untuk membuat saringan berkenaan ciri psikologi dan ciri kognitif pelajar sebelum mereka masuk ke universiti.
“Dan oleh kerana buli adalah masalah akhlak dan rohani, hukuman secara keras dan konsisten perlu dijatuhkan kepada pembuli (dan saksi-saksinya) setiap kali mereka membuli pelajar lain tanpa kecuali… Jika memang didapati perbuatan membuli secara kronik mencetuskan penyakit mental, pembuli perlukan rawatan psikiatri,” kata Dr Alizi kepada The Merdeka Times (TMT) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan tentang bagaimanakah keadaan mental individu yang suka membuli hingga ke tahap sanggup menekap seterika panas ke atas tubuh orang lain dan apakah manusia normal berupaya melakukan perbuatan seperti itu.
Ia susulan laporan eksklusif TMT semalam yang melaporkan kes terbaru seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) disyaki dibuli dan didera seorang seniornya dengan menggunakan seterika ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.
Pada 2017, negara digemparkan dengan insiden sadis membabitkan pegawai kadet laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain yang menemui ajal selepas dibuli, dipukul dan diseksa dengan kejam apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap selepas beliau dituduh mencuri sebuah komputer riba.
Mengulas lanjut, Dr Alizi berkata pembuli kebiasaannya mempunyai ciri psikologi yang berbeza dengan individu bukan pembuli di mana mereka tidak mempunyai tingkah laku prososial, tidak terganggu rasa kebimbangan dan tidak memahami perasaan orang lain.
Selain itu, mereka juga mempunyai ciri kognitif tersendiri atau sejenis paranoia di mana mereka salah membaca niat orang lain, sering menganggap permusuhan dalam situasi neutral dan merasakan orang lain mungkin tidak menyukai mereka, tetapi mereka kebiasaannya melihat diri mereka secara positif.
Katanya, mereka yang membuli secara kronik cenderung mempunyai hubungan yang tegang dengan ibu bapa dan rakan sebaya.
Dr Alizi menjelaskan terdapat beberapa faktor yang boleh menjadi punca berlakunya buli iaitu persekitaran asrama seperti kebebasan dan rekabentuk dormitori (dorm), faktor budaya seperti kuasa dan dominasi formal dan informal dalam budaya ketenteraan dan faktor manusia seperti persepsi kadar kesalahan, saluran untuk mengadu dan perlindungan daripada pihak lebih berkuasa. — The Merdeka Times